PAGES

PRINSIP ISLAM KHADARI

PRINSIP ISLAM KHADARI

Prinsip islam hadhari dan bagaimana hendak diaplikasikan ditempat kerja.

Jawapan-

Pengenalan

Islam Hadhari memberi tekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban iaitu peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal.

Prinsip

I. Keimanan dan ketaqwaan kepada Allah
Bagi orang Islam pendekatan Islam Hadhari meletakkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sebagai teras utamanya. al-qur’an dan sunnah Rasulullah S.A.W sebagai teras pegangan dan rujukannya. Gabungan kemantapan akidah (kepercayaan), syariah (perundangan), akhlak, moral dan nilai-nilai murni adalah teras perancangan dan pelaksanaan pembangunan diri dan pengurusan sistem untuk mencapai umat yang berkualiti dan negara yang cemerlang.

II. Kerajaan adil dan beramanah
Adil adalah memberi yang hak kepada yang berhak akan haknya, mengikut kadar masing-masing

III. Rakyat berjiwa merdeka
Salah satu prinsip utama pendekatan Islam Hadhari ialah mewujudkan rakyat yang berjiwa merdeka. Antara ciri jiwa merdeka ialah berfikiran kreatif dan inovatif. Masyarakat yang berjiwa merdeka dapat melahirkan buah fikiran yang dinamik dan positif sehingga mampu melahirkan idea-idea baru yang bermanfaat bagi memartabatkan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

IV. Penguasaan ilmu pengetahuan
Kemampuan menguasai ilmu pengetahuan secara intergratif boleh menjadikan kita memiliki kekuatan pengetahuan yang pelbagai dan semasa supaya kecemerlangan intelektual dapat dikembangkan, kekuatan peribadi dapat ditampilkan dan ketangkasan jasmani dapat dibangunkan. Proses ini perlu bagi melahirkan insan seimbang dan harmonis seperti yang terdapat dalam matlamat Falsafah Pendidikan Negara kita.

V. Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif
Dalam usaha untuk memajukan negara, aspek ekonomi turut sama diberi keutamaan oleh Islam. Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif memberikan satu pendekatan yang menggabungkan kepada usaha memantapkan amalan ekonomi yang berakhlak dengan kemampuan melaksanakan aktiviti ekonomi secara berkesan sesuai dengan perkembangan ekonomi di dalam negara dan diperingkat antarabangsa.

VI. Kehidupan berkualiti
Islam pada permulaannya memberi tumpuan yang penting kepada pencapaian kehidupan masyarakat secara berkualiti. Mencapai tahap kehidupan yang tinggi dalam kesemua aspek keperluan adalah matlamat utama agama. Bahkan Islam menuntut semoga setiap individu berusaha menguasai ilmu dan kemampuan untuk berjaya dalam kehidupan di dunia. Kehidupan akhirat adalah hasil daripada kemampuan individu melaksanakan kehidupan yang berkualiti dari kesemua aspek termasuk aspek kerohanian, fizikal dan material.

VII. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita
Pendekatan pendidikan Islam Hadhari memberi kemuliaan insan itu diberikan kepada setiap individu tanpa diskriminasi, sama ada sebagai kumpulan majoriti atau minoriti. Hak-hak mereka dijamin oleh undang-undang negara. Jaminan tersebut meliputi nyawa, agama, harta, kehormatan dan akal. Dalam Islam ia terkandung dalam matlamat pesyariatan syariat Islam (Maqasid as-Syariah). Oleh itu tidak boleh berlaku penafian hak-hak tersebut atau alasan menjadi kumpulan kecil atau perbezaan jantina. Penafian dan halangan ke atas hak-hak tersebut adalah salah dari segi undang-undang

VIII. Keutuhan budaya dan moral
Satu daripada perinsip ketamadunan sesuatu bangsa dan negara ialah wujudnya keutuhan budaya dan ketinggian moral sebagai identiti negara tersebut. Dalam rangka meningkatkan kemajuan negara Malaysia, kepelbagaian budaya dan agama perlu dipertahankan berasaskan sistem nilai dan akhlak yang kukuh, murni dan luhur. Penghayatan nilai-nilai akhlak yang mutlak dan tinggi akan menjamin kesejahteraan, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat majmuk. Ia juga akan menjadikan bangsa itu terhormat dan disegani.

IX. Pemeliharaan alam semula jadi
Kehidupan manusia tidak terbatas hanya kepada hubungan sesama manusia, tetapi juga hubungan manusia dengan alam persekitaran. Kesejahteraan yang dinikmati oleh manusia adalah akibat daripada kehidupan yang sejahtera antara sesama manusia dengan alam tabii. Dalam proses pembangunan, manusia mempunyai kecenderungan untuk menguasai dan mengekploitasi alam tabii secara berlebihan dengan menggunakan sains dan teknologi. Natijahnya, keseimbangan alam semula jadi tidak dapat dikekalkan. Peristiwa tanah runtuh, banjir kilat, pemanasan global, ribut taufan, hujan asid, pencemaran udara, air dan darat, kepupusan tanaman, habitat dan sebagainya semuanya menyumbang kepada ketidakstabilan eko-sistem yang dilakukan oleh aktiviti manusia. Di peringkat antarabangsa beberapa deklarasi mengenai alam sekitar telah pun dilaksanakan oleh UNDP untuk memastikan pembangunan yang lestari. Deklarasi Reo De Janerio (1993) dan Protokol Kyoto (1997) merupakan antara dua deklarasi di mana Malaysia turut menandatanganinya. Malaysia sendiri telah mengadakan Deklarasi Langkawi untuk memastikan pembangunan negara secara lestari dan mesra alam.Untuk mengatasi semua ini alam sekitar perlu ditadbir urus melalui kaedah dan pendekatan yang lebih seimbang dan menyeluruh. Pembangunan insan yang berteraskan kepada kehidupan yang berteraskan nilai-nilai murni agama, bertanggungjawab dengan alam, membangun alam secara terancang perlulah diberi penekanan yang bersungguh-sungguh. Pembangunan sains dan teknologi yang berteraskan kepada ajaran agama dan nilai budaya perlu diterapkan kepada seluruh peringkat masyarakat. Penyelidikan dan pemantauan terhadap alam tabii perlu dilakukan secara berterusan agar pembangunan yang dijalankan tidak mendatangkan risiko yang tinggi kepada kehidupan sejagat.

Adalah menjadi pendekatan Islam Hadhari agar kehidupan manusia menjadi harmoni dengan alam sekitar dan persekitarannya disamping berusaha untuk terus maju.

X. Kekuatan pertahanan
Islam Hadhari melihat pertahanan bukan sahaja isu-isu yang meliputi kekuatan ketenteraan dan persenjataan, malah ia merangkumi kekuatan diri, fizikal dan spritual.Bangsa yang maju memerlukan umat yang dapat mempertahankan diri dan negara dari dicerobohi. Untuk itu mereka perlu memiliki kekuatan ketenteraan yang terkini bagi tujuan mempertahankan diri dan negara dan bukan untuk menyerang dan menguasai bangsa dan negara lain.

Kekuatan pertahanan akan menjamin kestabilan, keamanan dan keselamatan negara yang membolehkan proses pembangunan dilakukan secara berterusan.

Perubahan suasana politik dunia global masa kini dan tekanan serta penghinaan yang dihadapi oleh sebahagian umat manusia menuntut kita menguasai kekuatan ketenteraan dan keupayaan mempertahankan diri. Negara perlu diperlengkapkan dengan rancangan serta program jangka panjang untuk menyemai rasa hak dan tanggungjawab membela kemuliaan maruah diri, bangsa dan negara. Pendekatan Islam Hadhari akan berusaha memperkasakan umat supaya mereka berupaya menghadapi cabaran dunia semasa.

Kesimpulan

Amatlah penting umat Islam dipimpin memahami dan menghayati Islam sebagai sistem kehidupan menyeluruh untuk menggerakkan pembinaan satu tamadun. Kehidupan menyeluruh yang bijak mengimbangkan tanggungjawab dunia dengan tanggungjawab akhirat. Islam bukanlah satu ritual kerana ritualisme memberi tumpuan kepada akhirat semata-mata. Kerajaan juga tidak pernah bersifat sekularisme yang menolak akhirat dan memberi tumpuan kepada dunia semata-mata. Islam mestilah dihayati sebagai sistem yang mengintegrasikan kehidupan duniawi dan persiapan ukhrawi. 

Sumber: http://islamhadhari.net

No comments:

Post a Comment